Khamis, 6 April 2017

Ibu Buang Mayat Anak Perempuan Ke Dalam Laut

Rome – Mayat wanita dalam beg pakaian yang ditemui nelayan di Rimini dekat Ansa, bulan lalu, dibuang ke dalam laut oleh ibunya, seorang wanita Russia yang terlalu sedih dengan kematian anaknya itu akibat ‘anorexic’.

Menurut Daily Mirror, anaknya, Katerina Laktionova, 27, bekas model, mati selepas menghadapi masalah kehilangan selera makan. Dia tinggal bersama ibunya, seorang jururawat berusia 47 tahun.

Ketika meninggal dunia, Katerina seberat 35 kilogram, boleh dianggap hanya tinggal kulit dan tulang.

Selepas membuang mayat anaknya, wanita itu pulang ke Russia dan di sana, dia menghubungi rakan lelakinya di Itali menceritakan perbuatannya yang didakwa akibat terlalu tertekan dan tidak boleh menerima kenyataan anaknya meninggal dunia.

Rakannya itu kemudian menghubungi polis yang sebelum itu, menyangka mayat ditemui dalam beg pakaian itu ialah wanita Jerman yang hilang dari kapal persiaran Februari lalu.

Wanita berkenaan memberitahu rakannya dia menyimpan mayat anaknya selama seminggu sebelum memasukkan ke dalam beg dan membuangnya ke dalam laut.

Ibunya yang tahu Katerina sakit dan sering dimasukkan ke hospital, mahu membawanya pulang ke Russia untuk dirawat namun anaknya enggan.

Pihak berkuasa Itali bekerjasama dengan Russia bagi siasatan kes berkenaan.
loading...