Jumaat, 14 April 2017

Isteri Sebak Lihat Jenazah Suami Yang Maut Dalam Kemalangan.

Seorang isteri tidak dapat menahan sebak apabila melihat jenazah suaminya yang merupakan Seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) menemui ajal selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil isterinya yang bekerja di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam di Kilometer 38 Jalan Teluk Intan -Klang, itu, mangsa, M. Arna Jelon, 60 tahun, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, ditemui maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal polis mendapati, kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal dari arah Klang disyaki hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan.

“Ketika kejadian, permukaan jalan basah akibat hujan renyai,” katanya.

“Mangsa dipercayai terbabas lalu berlanggar dengan sebuah kenderaan lain yang sehingga kini masih belum dikenal pasti dari arah Teluk Intan menuju ke Klang,” katanya

Nor Azmi berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang terjatuh dari kenderaannya ditemui berada di lorong sebelah kanan jalan menuju ke Klang.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke HTAJ untuk dibedah siasat.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan maut itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.


Katanya, kes kemalangan maut itu dikendalikan Pegawai Penyiasat, Inspektor Salmah Abu Bakar di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
loading...