Khamis, 13 April 2017

Jamal Dan Penyokong Didakwa Di Mahkamah

Ampang: Pengerusi Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersama sembilan penyokongnya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan menggunakan kekerasan bagi menentang pelaksanaan undang-undang di pusat beli-belah Ampang , November tahun lalu.

Selain Jamal, 47, sembilan penyokongnya yang turut didakwa ialah Reza Jamin, 37, Ariffin Abu Bakar, 47, Mohd Shabudin Abu Hassan, 47, Izzrul Idris, 22, Hasannen Zikri Harizan, 24, Mohd Faiz Amirul Mahsan, 21, Mohd Yusoff Mohd Sharif, 25, Abd Razak Hassan, 25, dan R Balaguru, 30.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan utama, semua tertuduh didakwa sebagai ahli suatu kumpulan perhimpunan yang menyalahi undang-undang menggunakan kekerasan untuk menentang pelaksanaan undang-undang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bangunan Ampang Point, di sini, jam 4 petang pada 13 November tahun lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Manakala mengikut pertuduhan pilihan, semua tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan bertindak agresif dengan cara merempuh halangan polis bertujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan semua tertuduh masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei depan sebagai sebutan semula kes.-Harian Metro
loading...