Selasa, 18 April 2017

Jamal Mahu Bantu Selamatkan Adam Rosly

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menawarkan diri bersama beberapa NGO lain untuk membantu Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, bagi membiayai kos guaman yang mencecah RM50,000.

Jamal mendakwa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen PKR-Ampang, Zuraida Kamaruddin tidak mempedulikan Adam.

"Kita kesian dengan Adam, tidak dibantu. Saya bimbang nanti walaupun mungkin dia didapati bersalah, beliau juga berhak mendapatkan pengadilan dan pembelaan daripada peguam," kata Jamal dalam sidang media di luar bangunan SPRM hari ini.

Terdahulu, Jamal Yunos membuat laporan kepada SPRM terhadap Zuraida, yang didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai wakil rakyat.

Isu ini susulan daripada penahanan Adam yang ditahan SPRM kerana memiliki kekayaan yang luar biasa.
  
Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan tahanan ke atas Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly dilanjutkan selama empat hari lagi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa yang dimilikinya.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman Adam yang bermula esok hingga Sabtu ini.-Malaysia Kini
loading...