Ahad, 23 April 2017

Kalau Presiden MIC Tak Setuju Zakir Naik Di Malaysia, Sila Letak Jawatan,

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali berkata pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik memerlukan perlindungan dan taraf Pemastautin Tetap (PR) kerana bimbang layanan buruk oleh pihak berkuasa India sekiranya pulang ke negara itu.

Katanya, keadaan itu sama dihadapi aktivis NGO yang bimbang menerima layanan buruk daripada pihak berkuasa selepas ditahan di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas sidang meja bulat PERKASA berkenaan kesan pelaburan China di Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, dakwaan bahawa Zakir mempromosikan keganasan dan menghina agama lain juga tidak berasas kerana pendakwah itu hanya melakukan perbandingan antara agama.

"Perbandingan antara agama dibincangkan setiap hari di seluruh dunia. Maka berlaku adillah kepadanya, jangan berdasarkan sentimen.

"Tambahan pula zakir memberi syarahan kepada orang Islam. Jika ada segelintir orang bukan Islam yang ingin hadir, kita tidak boleh halang," katanya.

Ditanya mengenai orang bukan Islam yang tidak boleh menyentuh mengenai soal agama Islam dalam program terbuka seperti dilakukan Zakir, beliau mengingatkan mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

"Agama lain boleh diamalkan tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Namun ramai orang Islam pergi ke Batu Caves ketika perayaan (Thaipusam), dan gereja menganjurkan majlis buka puasa untuk orang Islam," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional PERKASA, Datuk Ruhanie Ahmad mendesak Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam meletakkan jawatan kerana mempersoalkan pemberian status PR kepada Zakir.

"Keputusan dibuat oleh Menteri Dalam Negeri dan dipersetujui seluruh kabinet. Beliau adalah menteri yang berada dalam kabinet. Jika beliau tidak setuju, boleh letak jawatan," kata Ruhanie.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan telah memberi status PR kepada Zakir sejak lima tahun lalu.

Presiden MIC itu berkata kehadiran Zakir tidak diperlukan di Malaysia kerana ulama di negara ini jauh lebih cekap dan sudah cukup berwibawa.

Beliau juga memberi amaran kehadiran pendakwah kontroversi itu boleh mengancam perpaduan negara.

Zakir sebelum ini dikaitkan dengan aktivit keganasan dan kini dihendaki pihak berkuasa India atas tuduhan pengubahan wang haram.- Malaysia Kini
loading...