Selasa, 25 April 2017

Kanak-Kanak Hilang Tujuh Jam

Sungai Buloh – Jemaah Masjid Al-Huda, Paya Jaras di sini, terkejut susulan penemuan seorang kanak-kanak kecil yang dipercayai tersesat sambil memegang sebuah kereta mainan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi kelmarin, kanak-kanak lelaki itu ditemui orang awam ketika mahu melintas jalan sebelum diserahkan kepada pihak masjid yang terletak berhampiran dengan lokasi dia ditemui.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak masjid untuk jagaan sementara menunggu ahli keluarganya datang menjemput.

“Berita penemuan kanak-kanak itu menjadi tular selepas gambar dan maklumat berhubung kejadian itu dikongsi penduduk kawasan sekitar melalui aplikasi WhatsApp.

“Melalui penyebaran mesej itu, ahli keluarga kanak-kanak berkenaan dapat menemui dia di masjid terbabit kira-kira jam 5 petang, semalam (kelmarin) iaitu tujuh jam selepas kehilangannya,” katanya.

Wan Kamarul berkata, berdasarkan keterangan daripada bapa mangsa, kanak-kanak itu berada bersama abangnya ketika dia sedang sibuk menguruskan perniagaan di Pasar Pagi Paya Jaras, di sini.

“Dia hanya menyedari kehilangan anaknya itu selepas dimaklumkan anak lelakinya yang bersiar-bersiar bersama kanak-kanak berkenaan.

“Selepas beberapa jam mencari, bapa mangsa dimaklumkan berhubung penemuan kanak-kanak itu yang diletakkan di bawah jagaan masjid terbabit,” katanya.

Katanya, tiada laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa berhubung kehilangan kanak-kanak itu.
loading...