Rabu, 26 April 2017

Kejam! Pembunuhan Beramai-Ramai Rakyat Syria.

Kanak-kanak kelihatan menggelupur dengan mata terbeliak ke atas. Beberapa orang dewasa juga menunjukkan simptom yang sama, malah tubuh sebahagiannya kejang dengan mulut berbuih.

Saat udara yang terkandung gas beracun dipercayai agen saraf itu tersejat di udara, orang-orang di kawasan persekitaran yang terdedah dengannya seakan-akan mengalami renjatan sehingga melumpuhkan seluruh anggota tubuh.

Serangan udara yang berlaku pada 4 April lalu kira-kira pukul 7 pagi di daerah Khan Sheikhoun di Idlib, Syria umpama bom masa yang menggemparkan dunia.

Seorang pejuang pemberontak, Yasser Sarmani memberitahu, dia terjatuh ketika menunggang motosikal untuk ke tempat kejadian bagi membantu mangsa.

“Sudah menjadi rutin masyarakat di sini untuk segera bergegas ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa setiap kali berlakunya serangan udara.

“Menunggang motosikal dengan melawan angin, mata seolah-olah terbakar dan badan menjadi kejang seperti sedang lemas.

“Orang ramai kelihatan melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum masing-masing rebah ke tanah. Situasi ketika itu sangat teruk,” ujarnya yang pengsan tidak lama selepas itu.

Sejam kemudian, Yasser tersedar selepas menerima suntikan dan oksigen. Dia mendapati dirinya berada di sebuah klinik.

Sesak nafas

ANAK yang tidak berdosa ini turut terkena tempias kesan bahaya gas sarin.

“Saya lihat ramai kanak-kanak bergelimpangan. Ada yang meninggal dunia manakala selebihnya bergelut untuk menyedut udara bersih. Bunyi nafas mereka sangat kuat dan buih memenuhi mulut masing-masing,” jelasnya mengenai situasi di klinik pada masa itu.

Ia bukan sahaja menyaksikan ramai orang awam tidak berdosa berpisah nyawa, malah lebih menyedihkan, perbuatan zalim itu juga dipercayai dilakukan oleh pakatan pemimpin tertinggi negara itu sendiri.

Lebih memburukkan keadaan, tiga hari selepas tragedi tersebut, tentera Amerika Syarikat (AS) bertindak campur tangan atas alasan memberi amaran kepada pemerintah Syria. AS melakukan serangan terhadap Pangkalan Tentera Udara Shayrat milik tentera rejim Bashar al-Assad yang terletak di bahagian barat negara itu.

AS melancarkan 59 misil Tomahawk dari dua kapal pemusnah milik mereka di timur laut Mediterranean pada pukul 4.40 pagi atas arahan Presiden Donald Trump. Ia sebagai tindak balas serangan senjata kimia oleh rejim itu ke atas orang awam beberapa hari sebelumnya.

Serangan kimia di daerah pemberontakan Khun Sheikhoun berhampiran sempadan Reyhanli, Turki itu menyaksikan angka kemalangan jiwa sekurang-kurangnya 80 orang dan lebih 550 orang rakyat memerlukan rawatan kecemasan.

Sampel

sarin dipercayai pertama kali disintesis di Jerman pada tahun 1938 sebagai program penyelidikan racun perosak.

Pekerja penyelamat telah mengumpul dan menghantar sampel tanah serta tisu mangsa kepada pegawai perisikan Barat untuk dianalisis. Pemerhatian awal Pusat Media Idlib mengandaikan agen kimia yang digunakan mempunyai ciri-ciri gas sarin.

Ia kemudiannya disahkan oleh Kementerian Kesihatan Turki berdasarkan analisis ke atas sampel tanah dan tisu yang dihantar oleh pasukan penyelamat.

“Ujian perubatan terhadap sampel darah dan air kencing mangsa telah mengesan kehadiran asid metilfosfonik isopropil iaitu kesan sampingan apabila gas sarin bertindak balas dengan sebatian lain.

“Kehadiran asid tersebut telah mengakibatkan kerosakan pada paru-paru mangsa,” kata jurucakap kementerian.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan menjelaskan, penggunaan agen saraf sarin juga digunakan dalam siri serangan senjata kimia di Khan al-Asal, Saraqib dan Ghouta di Syria pada bulan Mac, April serta Ogos 2013.

Tren bawah tanah

Senjata kimia itu popular sejak tahun 1995 selepas digunakan dalam serangan tren bawah tanah di Tokyo, Jepun oleh kumpulan pemujaan Aum Shinrikyo.

Serangan agen saraf sarin di dalam tren bawah tanah Tokyo atau disebut oleh media Jepun sebagai Insiden Tren Bawah Tanah Sarin merupakan jenayah keganasan domestik yang dilakukan oleh ahli-ahli kumpulan pemujaan Aum Shinrikyo pada 20 Mac 1995.

Dalam lima serangan terancang, lima orang pengganas daripada kumpulan tersebut telah melepaskan gas sarin secara berasingan di dalam tren bawah tanah Tokyo yang kini dikenali sebagai Tokyo Metro. Tren tersebut merupakan salah satu sistem pengangkutan komuter paling sibuk di dunia.

Serangan tersebut dilakukan pada waktu puncak iaitu antara pukul 6 hingga 10 pagi melibatkan tiga laluan utama bawah tanah iaitu Chiyoda, Marunouchi dan Hibiya.

Kelima-lima pengganas tersebut, empat daripadanya membawa dua peket plastik cecair sarin yang dibungkus dengan surat khabar manakala seorang lagi membawa tiga peket memasuki tren. Selain peket cecair sarin, mereka juga membawa sebatang payung berbucu tajam bersama.

PETA (kiri) menunjukkan kawasan yang terjejas akibat gas kimia sarin di Syria baru-baru ini.

Apabila menghampiri stesen yang telah ditetapkan, mereka menjatuhkan peket sarin tersebut sebelum mencucuknya beberapa kali menggunakan bucu payung dan keluar dari tren tersebut.

Sebaik keluar, mereka menaiki kereta yang dipandu rakan subahat menuju ke tempat selamat.

Peket cecair sarin bocor yang ditinggalkan di dalam tren kemudiannya tersejat menjadi wap dan tersebar bebas di udara.

Individu yang terdedah dengan udara beracun tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung akan mengalami kekejangan dan sesak nafas serta-merta.

Kandungan racunnya yang tinggi boleh mendatangkan maut kepada manusia walaupun hanya satu titis.

Insiden Tren Bawah Tanah Sarin merupakan antara kejadian paling dahsyat yang berlaku di Jepun selepas Perang Dunia Kedua berakhir.

Ia menyaksikan 12 nyawa terkorban, 50 orang cedera parah dan lebih 5,000 penumpang termasuk pekerja stesen mengalami gangguan penglihatan sementara, namun sebahagian besar mangsa mengakui keupayaan pancaindera mereka tidak lagi efisyen selepas terkena sarin.

Sarin ialah sebatian organofosforus dan pertama kali disintesis pada tahun 1938 di Jerman sebagai sebahagian daripada program penyelidikan racun perosak.

Menurut Ahli Jawatankuasa Jabatan Kesihatan Australia, Prof. Dr. Dino Pisaniello, sarin ialah bahan sederhana yang mudah terbentuk menjadi gas dan boleh melemahkan upaya manusia apabila disentuh atau disedut.

Kandungan kimianya mampu merencatkan enzim acetylcholinesterase yang bertindak mengawal fungsi saraf.

“Apabila terdedah kepada agen saraf dos rendah seperti sarin, individu terbabit yang terkena akan merembes air liur secara ekstrem, hidung berair, sakit dada dan anak mata menguncup.

“Seseorang itu akan mengalami kesukaran bernafas, batuk, sakit perut, muntah malah, adakalanya najis keluar tanpa kawalan,” terangnya.-Kosmo
loading...