Khamis, 6 April 2017

Kes Dua Sahabat Hilang Di Jakarta Semakin Misteri

Misteri kehilangan dua sahabat baik, Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27 tahun, dan Mohd. Shafa Ahmad, 29 tahun, sejak Khamis lalu, selepas mereka pergi ke Jakarta, untuk menyaksikan konsert semakin kusut.

Ini kerana, selepas enam hari tanpa khabar berita, pasport Kamarol Arifin dikesan digunakan di pintu masuk negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru, pukul 5.15 petang semalam.

Bagaimanapun, Kamarol Arifin masih tidak kunjung tiba dan identiti individu yang menggunakan pasportnya juga kekal misteri, manakala tiada sebarang petunjuk mengenai Mohd. Shafa diperoleh sehingga kini.

Kakak Kamarol Arifin, Junaina, 33, berkata, dia sekeluarga kini bingung dan risau memikirkan keselamatan adiknya dan Mohd. Shafa kerana kedua-dua sahabat baik itu tidak pernah merahsiakan sebarang pergerakan mereka.

“Petang semalam pihak kedutaan memaklumkan pasport Kamarol digunakan di CIQ Johor Bahru. Kami sekeluarga lega seketika kerana memikirkan Kamarol sudah balik tetapi sehingga hari ini, dia tidak muncul-muncul.

“Apa yang peliknya, hanya pasport Kamarol sahaja dikesan, status Shafa sehingga kini tidak diketahui. Apa yang paling membingungkan kami, kedua-duanya hilang tanpa sebarang berita,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, di sini hari ini.

Semalam, Kamarol Arifin bersama Mohd. Shafa dilaporkan hilang di Jakarta setelah gagal dikesan sejak tiba di negara itu pada Khamis lalu.

Mereka berdua ke Jakarta menaiki pesawat AirAsia pada pukul 2 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bersama enam lagi rakan dan sepatutnya pulang pada Ahad.

Dalam pada itu, kakak Mohd. Shafa, Darwina, 32, berkata, adiknya itu tidak menunjukkan sebarang sikap pelik, malah teruja untuk menonton konsert bersama sahabat baiknya itu.

Ujar Darwina, adiknya yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di daerah ini baru beberapa hari pulang daripada Filipina atas urusan kerja.

“Sehingga sekarang kami masih belum menerima sebarang berita daripada Shafa dan Kamarol. Buat masa ini, kami dimaklumkan gambar mereka berdua telah disebarkan di Jakarta.

“Emak dan abah di rumah sentiasa menangis kerana terlalu risau dengan keselamatannya dan mendoakan agar mereka berdua segera pulang ke rumah,” katanya.
loading...