Isnin, 17 April 2017

Krisis Korea: Kami Tiada Pilihan Terpaksa Serang, Kata Donald Trump

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) tidak menafikan akan melancarkan serangan awal ke atas Korea Utara selepas penasihat utama keselamatan negara itu memberi amaran bahawa situasi antara kedua-dua negara semakin meruncing.

Selepas kegagalan ujian peluru berpandu Pyongyang pada Ahad, Leftenan Jeneral HR McMaster berkata, semua pilihan sudah disediakan untuk mengekang konflik yang lebih buruk.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut pilihan yang disediakan tetapi penganalisis politik dunia percaya bawah kenyataan McMaster itu merujuk kepada tindakan yang bakal diambil oleh AS termasuk menggunakan kekuatan tentera untuk mengekang ancaman Korea Utara yang berdegil membangunkan program senjata nuklear.

McMaster memberi amaran itu ketika perbincangan diadakan antara kuasa-kuasa dunia termasuk sekutu kuat Pyongyang, China untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi meredakan ketegangan antara Korea Utara dan Washington, sekali gus mengelakkan perang nuklear antara kedua-dua negara.

Namun tindakan AS mengerahkan armada penyerang yang diketuai kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson di Semenanjung Korea, ternyata memburukkan lagi keadaan dan memberi bayangan bahawa Presiden Donald Trump sedia menggunakan kuasa tentera bagi menghapuskan ancaman Korea Utara.

Selain itu, AS turut menempatkan beberapa aset tenteranya di lokasi strategik di Jepun dan Korea Selatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Tentera AS semakin berkembang dan menjadi lebih kuat berbanding sebelum ini.

“Sejujurnya, kami tidak mempunyai pilihan,” kata Trump menerusi kenyataan dalam laman Twitter. – mstar
loading...