Ahad, 30 April 2017

Mayat Wanita Separuh Bogel Dijumpai Di Pantai

Miri – Mayat wanita separuh bogel dan hanya memakai coli dijumpai terapung di tepi batu Tanjung Lobang malam tadi.

Mayat wanita berusia lewat 30an tanpa dokumen itu dijumpai jam 11.55 malam oleh orang awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, pemeriksaan awal terhadap fizikal mangsa mendapati berlaku kecederaan di lopak mata sebelah kanan, kesan calar dan lebam di kedua-dua pergelangan tangan dan jari.

“Terdapat juga kesan lebam di bahagian kepala kiri dan kanan, kesan lebam di tengah dada. Tiada kesan kecederaan diakibatkan objek tajam,” katanya hari ini.

Beliau berkata, mangsa berkaki ayam dan tiada sebarang kesan kecederaan di bahagian lain badan.

Katanya, siasatan tempat kejadian dijalankan didapati keadaan mayat masih segar.

Beliau berkata, tiada saksi yang melihat kejadian ini dan polis belum menerima kehilangan individu.

Mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Miri. – BH Online
loading...