Sabtu, 22 April 2017

NGO India Buat Laporan Polis, Terhadap Mufti Perlis Dan Zakir Naik

PETALING JAYA: Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) bersama beberapa NGO India lain hari ini membuat 2 laporan polis berbeza terhadap Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin dan penceramah kontroversi Zakir Naik.

Laporan terhadap Asri mengenai “puisi pagi Jumaat” yang dimuatnaik di Facebook semalam, manakala laporan terhadap Zakir pula mengenai pengaruh radikal.

Presiden Mipas Rajaretinam Armuggan sukar mempercayai seorang seperti mufti Perlis akan mengeluarkan “puisi” seperti itu.

“Saya mengikuti mufti Perlis dan saya terkejut apabila dia menunjukkan pemikiran yang sempit,” katanya kepada pemberita di balai polis Sentul hari ini.

“Dia (Asri) sebagai seorang ilmuan sepatutnya lebih rasional dan bijak bila berkata-kata. Seorang ilmuan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang sangat menghina.”

Rajaretinam percaya Asri mengeluarkan “puisi” seperti itu kerana dipengaruhi Zakir dan berkata jika penceramah kontroversi itu berjaya mempengaruhi seorang ilmuan, bagaimana pula dengan orang Islam kebanyakan.

“Zakir berjaya meyakinkan Asri menjadi pengikutnya. Jika Asri pun boleh dipengaruhi maka ini sangat merbahaya kerana bagaimana pula dengan orang kebanyakan? Mereka akan jadi pelampau.”

Beliau berkata perkataan seperti itu tidak sesuai disebutkan oleh orang seperti Asri, maka tindakan segera polis diperlukan.

“Seorang mufti dalam hal ehwal agama berada pada kedudukan yang tinggi dalam kerajaan. Mufti menasihati sultan dan kerajaan berkenaan perkara berkaitan agama.

“Bolehkah seseorang yang bercakap buruk mengenai agama dan amalan lain memegang jawatan tinggi itu?”

Rajaretinam memetik ayat al-Quran dari surah al-Kafirun yang menyebut: “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.

“Kalaupun saya sembah batu, kucing atau kambing, itu urusan saya. Mengapa kamu pula yang terasa?

“Asri sepatutnya mempromosikan keamanan dan keharmonian tetapi bila dia menggunakan perkataan seperti itu dia seperti memalu gendang.”

Asri di Facebook hari ini mempertahankan “puisi” kontroversi itu.

Mufti Perlis berkata ia tidak ditujukan terhadap orang Hindu di Malaysia, tetapi terhadap pentadbiran Perdana Menteri Narenda Modi, yang beliau dakwa membiarkan orang Islam dibunuh kerana memakan lembu, haiwan yang dianggap suci oleh orang Hindu.-Free Malaysia Today
loading...