Selasa, 4 April 2017

Nur Atirah Masih Bersembunyi Di Kuala Lumpur– Polis

Kota Bharu – Wanita yang dikehendaki polis susulan perbuatan khianat membakar rumah dan kereta milik bekas suami serta mentuanya dipercayai berada di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, wanita dikenali Nur Atirah, 27, itu dipercayai berada di ibu negara untuk bersembunyi.

“Kami mendapat maklumat, dia berada di sana dan tindakan susulan diambil untuk mengesannya dengan bantuan Kontinjen Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, kami alu-alukan dia tampil menyerah diri untuk membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baharom berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita itu diminta menghubungi balai polis terdekat.

Akhbar pada 16 Mac lalu melaporkan, polis mengesan Nur Atirah kerana disyaki terbabit dalam perbuatan khianat dengan membakar kereta dan rumah milik bekas suami serta mentua dalam dua kejadian berasingan di Telipot dan Kubang Kerian, di sini.

Dia yang berasal dari Tumpat dipercayai masih berada di dalam negara. – Harian Metro
loading...