Selasa, 18 April 2017

Pegawai Polis Dan Isteri Terbunuh

Baling: Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan isterinya maut manakala empat anak mereka cedera selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan di Kampung Teluk Teduri Jalan Baru Kupang-Baling, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, Asisten Superintendan Mohd Noor Mat Yaub, 38, memandu kereta Toyota Passo bersama isteri Suriya Abdul Rahman, 37, serta empat anak berusia antara enam hingga 11 tahun.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan menghantar isterinya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri.

Menurut sumber, setiba di lokasi kejadian, mangsa memberhentikan keretanya untuk membelok ke kiri apabila tiba-tiba sebuah pikap Toyota Hilux dari arah Baling, merempuh belakang kereta mangsa.

“Akibat rempuhan itu kereta mangsa melungsur masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar kereta Honda City yang datang dari arah Kupang ke Baling.

“Pertembungan itu menyebabkan pasangan suami isteri terbabit cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Honda City turut cedera parah dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.13 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling tiba 7.32 pagi.


Menurutnya, kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan operasi menyelamat dan membersihkan kawasan kemalangan dijalankan.
loading...