Jumaat, 7 April 2017

Penjawat Awam Terjun Tingkat Tiga Elak Ditangkap Jabatan Agama.

Gambar hiasan
Langkawi: Penjawat awam parah di punggung dan patah tangan selepas terjatuh dari tingkat tiga pangsapuri di Kuah, di sini, ketika melarikan diri daripada ditahan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Langkawi (PADAL), hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, lelaki berusia 30-an itu memanjat balkoni di belakang pangsapuri untuk ke rumah jirannya namun terjatuh.

Jurucakap PADAL berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di pangsapuri berkenaan dan sepasukan enam anggota bersama dua anggota polis pergi ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

Menurutnya, setibanya di situ didapati rumah itu dalam keadaan tertutup dan selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki membukanya namun menutup semula pintu selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa PADAL.

"Namun, tidak lama kemudian empat anggota kami yang berada di bawah terdengar bunyi sesuatu terjatuh sebelum ternampak seorang lelaki mengerang kesakitan dan parah di bahagian punggung dan tangan serta kaki.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah itu pula menemui seorang lagi lelaki berusia 30-an yang hanya berseluar pendek tanpa baju dan empat wanita berusia bawah 25 tahun yang masing-masing berpakaian lengkap seluar pendek dan kemeja T.

"Hasil soal siasat mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri dan dua lelaki itu dikatakan sudah lama menumpang di rumah yang disewa wanita berkenaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.-harianmetro
loading...