Selasa, 25 April 2017

Polis Buru 5 Lelaki Guna Pedang Samurai Samun Pusat Snuker

DUA daripada tujuh lelaki yang menyamun sebuah pusat snuker di Taman Bukit Panchor dekat Nibong Tebal awal pagi tadi, berjaya diberkas polis.
NIBONG TEBAL: Polis memburu lima penjenayah yang meloloskan diri selepas melakukan kegiatan samun bersenjata di sebuah pusat snuker dekat Taman Bukit Panchor di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.35 pagi itu, enam lelaki bersenjatakan parang, pedang samurai dan pisau dikatakan menyerbu masuk ke bahagian kaunter sebelum meminta seorang pekerja premis menyerahkan semua wang hasil perniagaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafee Abd Samad, berkata seorang lagi suspek memantau di luar premis, sebelum semua mereka meloloskan diri selepas melarikan wang pusat snuker terbabit.

"Ketika ketujuh-tujuh suspek itu melarikan diri, pada masa sama, mereka terserempak dengan dua anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah.

"Anggota polis berkenaan berjaya memberkas dua suspek berusia 19 dan 24 tahun manakala lima lagi meloloskan diri dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Vios dan Perodua Myvi," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Shafee berkata, kelima-lima suspek yang dalam buruan polis itu melarikan kira-kira RM6,000 dan sebuah telefon bimbit. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.-Berita Harian Online
loading...