Jumaat, 28 April 2017

Remaja Berusia 17 Tahun Didakwa Rogol Dan Liwat Gadis Berusia 15 Tahun.

Ayer Keroh – Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga tuduhan merogol dan meliwat seorang gadis bawah umur, pada Februari hingga Mac lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun lapan bulan membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun 10 bulan di bawah pokok tepi sawah di Jalan Pulau Gadong, jam 2 pagi, pada 17 Februari lalu dan di bawah pokok berhampiran Muzium Kapal Selam Klebang, jam 1.30 tengah hari, awal Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa sama di sebuah rumah di Batu 2, Pokok Mangga, Malim, jam 9 pagi, pada 17 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377 (B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM4,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat penjamin adalah ibu tertuduh serta menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – BH Online
loading...