Selasa, 25 April 2017

Remaja Dibunuh Abang Kekasih, Keluarga Tak Percaya Cinta Jadi Punca

Tawau – Keluarga Mohd Ayieruchizamsyah Lambang, remaja yang maut dipukul di sebuah padang di Kampung Sentosa, di sini, petang kelmarin, menolak dakwaan insiden itu berpunca daripada cinta.

Bapa mangsa, Lambang Sundang, 59 tahun, berkata anak ketiga daripada lima beradik itu seorang yang mudah berkawan dan cepat mesra dengan sesiapa sahaja.

“Saya tidak percaya mereka menjalinkan hubungan cinta pada usia yang muda begini, lagipun mereka masih bersekolah. Kalau ada pihak yang cakap mereka pasangan kekasih, itu tidak betul,” katanya ketika ditemui BH di rumahnya di Kampung Pisang dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai ditumbuk di bahagian pipi dan tengkuk menggunakan sebatang kayu oleh suspek sebelum dia melarikan diri dan pulang ke rumah.

Mangsa ada memaklumkan kepada ibunya dia dipukul oleh seorang yang tidak dikenali sebelum masuk ke dalam bilik pada jam 8 malam, namun dia didapati meninggal dunia pada jam 7.30 pagi semalam ketika ibunya mengejutkannya dari tidur.

Sementara itu, ibu mangsa, Haryani Lahabe, 49 tahun, berkata mereka sekeluarga reda dengan takdir menimpa anaknya, namun berharap suspek dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Sebaiknya jika ada perselisihan faham, selesaikanlah dengan perbincangan atau datang berjumpa kami, janganlah buat tindakan sesuka hati,” katanya.

Haryani berkata kejadian menimpa Mohd Ayieruchizamsyah atau lebih mesra dengan panggilan Boboy, adalah kehilangan besar bagi keluarganya kerana arwah adalah seorang penyayang dan disenangi, selain bertanggungjawab menjaga neneknya yang tidak sihat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, ketika dihubungi berkata, suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek utama kes pembunuhan itu yang berumur 18 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar ditahan pada jam 10.45 pagi semalam selepas diserahkan oleh penduduk kampung. – BH Online
loading...