Ahad, 9 April 2017

Remaja Hisap Dadah Sambil Tonton Video Lucah Dalam Bilik Hotel.

Ampang – Sekumpulan ‘tokan muda’ tidak hanya menawarkan syabu, malah turut menyediakan pakej istimewa menagih dadah sambil menonton filem lucah di bilik hotel.

Kegiatan jenayah dilakukan suspek di sebuah hotel di Bandar Baru Ampang di sini, terbongkar apabila hotel itu diserbu sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), semalam.

Dalam serbuan jam 10 pagi, kumpulan pengedar dadah diketuai lelaki berusia 20 tahun dipercayai turut menjadikan bilik hotel itu sebagai markas membungkus dadah berdasarkan penemuan peralatan.

Berdasarkan siasatan, pelanggan yang datang membeli dadah turut boleh menagih dadah di bilik hotel berkenaan menggunakan ‘dapur’ disediakan.

Malah pelanggan turut ditayangkan video filem lucah susulan penemuan cakera padat digital (DVD) lucah di bilik hotel itu.
Ketika ditahan, lelaki terbabit ditemui bersama tiga rakannya termasuk remaja perempuan berusia 17 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pembantu.

Pemuda yang dikenali sebagai Apai mengaku sering menyewa bilik hotel berkenaan dengan bayaran RM150 sehari dan mendaftar masuk sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun ketika diserbu, pihak berkuasa hanya menemui puluhan plastik lut sinar dan peralatan membungkus dadah manakala tiada dadah ditemui dipercayai habis dijual.

Ketua Pegawai AADK Ampang Hasnina Ibrahim berkata, serbuan dilakukan berikutan aduan awam dan hasil risikan pihaknya sejak seminggu lalu.

Katanya, empat individu berusia 17 hingga 23 tahun ditahan di dalam bilik hotel berkenaan dan hasil pemeriksaan lanjut menemui peralatan menagih dan membungkus dadah.

“Lelaki berusia 20 tahun itu mengaku aktif menjual dadah sejak berusia 17 tahun dan pernah ditahan polis. Malah dia memberitahu masih berada di bawah siasatan dan dilepaskan atas jaminan pihak berkuasa.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua individu berkenaan positif syabu,” katanya ketika ditemui di Pejabat AADK Ampang, semalam.

Menurutnya, semua individu itu ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 dan dibawa ke pejabat AADK Ampang untuk tindakan lanjut. – Harian Metro
loading...