Khamis, 20 April 2017

Sanggup Tangguh Belajar Demi Sahabat.

Alor Gajah – Walaupun tidak mempunyai pertalian darah, seorang remaja sanggup menjadi ‘jururawat peribadi’ kepada seorang gadis lain yang terlantar akibat kemalangan jalan raya sejak tiga bulan lalu.

Malah, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, Syuhaila Ramli, 18, turut menangguhkan permohonan menyambung pengajian ke mana-mana institusi pengajian tinggi untuk menguruskan keperluan harian Fatin Syuhada Kamal, 16.

“Fatin patah tulang paha akibat kemalangan jalan raya tiga bulan lalu, manakala ibunya pula yang juga rakan lama ibu saya terpaksa dipotong jari kaki akibat kencing manis, sekali gus menyukarkannya untuk menjaga Fatin

“Kesungguhan ibu membantu rakannya itu menyentuh hati saya sehingga turut menawarkan diri menguruskan Fatin seperti menukar lampin pakai buang, menyapu ubat dan memandikannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau, Durian Tunggal, di sini, semalam.

Syuhaila yang juga anak keempat daripada enam beradik berkata, kesanggupan ibu bapanya menumpangkan Fatin juga secara tidak langsung mengeratkan hubungan mereka yang belajar di sekolah sama sebelum ini.

Sementara itu, bapa Fatin Kamal Wahab, 48, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia bersyukur kerana anak rakan isterinya prihatin terhadap nasib keluarganya.

“Sudah belasan tahun saya kenal keluarga Syuhaila dan tidak menyangka mereka sudi menawarkan diri untuk menjaga Fatin.


“Mujur jarak rumah kami tidak jauh, jadi mudahlah saya melihat Fatin,” katanya yang mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga keluarganya-Suara.TV
loading...