Rabu, 12 April 2017

Sara Ali Akhirnya Dedah Punca Buka Tudung

Selepas hampir seminggu media dan peminat berteka-teki tentang penampilan terkini Sara Ali, 27 tahun, yang kembali tidak bertudung, akhirnya aktres berkenaan membuat pengakuan terbuka di laman sosialnya.

Berdasarkan rakaman video yang dipaparkan secara langsung menerusi aplikasi FB Live miliknya, Sara akui sejak mengenakan tudung setahun lalu, dia menempuhi satu fasa sukar dalam hidupnya apabila terpaksa berpura-pura berhijab.

“Tindakan ini bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan tetapi saya sudah lama berfikir dan tidak mahu menyembunyikan hal sebenar.

“Selepas berbincang dengan banyak pihak serta beberapa individu lain dalam industri hiburan termasuk keluarga dan wartawan, barulah saya membuat keputusan ini,” memetik kata-katanya yang disuarakan menerusi rakaman tersebut.

Meskipun mendapat tentangan daripada ibu bapanya, Sara tetap dengan keputusannya untuk membuka tudung dan mereka akur serta terus memberikan sokongan moral.

Jelas Sara, tindakannya mengenakan tudung pada awal 2016 bukanlah satu kerelaan sebaliknya atas desakan individu tertentu serta musabab lain yang tidak mahu dikongsikan secara lebih terperinci.

“Ya, saya sedar akan impak yang saya sendiri tidak boleh duga. Kebanyakannya saya nampak dari sudut negatif tetapi saya tetap optimis. Jika menjejaskan karier saya, tiada apa yang boleh saya buat.

“Saya minta maaf sebab tidak menjadi diri sendiri tetapi saya sudah cuba jadi yang terbaik. Saya tidak suka tidur diselubungi perasaan bersalah kerana menipu orang selama setahun kebelakangan ini,” luahnya.

Ekoran itu, Sara bersedia menerima sebarang reaksi umum dan membuka ruangan komen di laman Instagram peribadinya @sararitory untuk memberi peluang kepada pengikutnya meninggalkan pendapat.
loading...