Sabtu, 8 April 2017

‘Saya Redha Ketentuan Ilahi’ – Datuk Vida

KOTA BHARU – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, beliau akan menguatkan semangatnya dalam meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal selepas ini.

Vida, 46, berkata, meskipun mengakui terkesan dengan perkara itu, namun beliau lega apabila mendapat sokongan penuh daripada dua anaknya serta peminat yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepadanya.

Katanya, sokongan tersebut membuatkannya rasa lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

‘‘Apa yang berlaku ini pasti ada hikmah­nya dan saya reda dengan ketentuan Ilahi. Buat masa ini, saya lebih selesa untuk bergelar ibu tunggal dan mungkin itu lebih baik.

‘‘Terima kasih kepada semua peminat yang memberikan sokongan dan mendoakan sepanjang saya berdepan dengan ujian ini,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Vida mengesahkan beliau bercerai talak satu dengan suaminya, Fairuz Ahmad Zainuddin, 39, di Mahkamah Syariah Ipoh, Perak hari ini.

Usahawan kelahiran Tanah Merah itu bersama bekas suaminya hadir ke mahkamah tersebut kira-kira pukul 9.30 pagi untuk proses lafaz cerai berkenaan selepas menfailkan permohonan perceraian beberapa minggu lalu.

Dalam pada itu, Vida berkata, beliau lebih selesa dengan pendekatan mengunci mulut daripada memberikan sebarang komen berhubung punca sebenar perceraian tersebut.

‘‘Itu adalah jalan terbaik dan tiada gunanya saya mendedahkan perkara tersebut kepada umum. Cukuplah setakat saya sahaja dan bukan untuk dikongsikan.

‘‘Lagipun Allah telah permudahkan segala urusan saya berkaitan dengan perkara ini. Saya tidak mahu mengeruhkan lagi suasana,’’ ujarnya.-Utusan
loading...