Sabtu, 8 April 2017

“Saya Tak Buat Filem Lucah” – Bade Azmi

Petaling Jaya – Beberapa bahagian penting daripada filem aksi Sindiket yang dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengundang rasa kurang senang pengarah, Bade Azmi.

Menurut Bade, sebagai pengarah dia cuba menyampaikan plot cerita dalam bentuk visual tanpa mensensasikan watak dengan aksi lucah atau keterlaluan.

“Masa saya buat filem ini, saya melihat daripada aspek kreativiti, seni dan cara penyampaian cerita dengan baik.

“Jadi saya tak melihat ia (bahagian yang dipotong) sebagai satu perkara yang sensitif. Saya tak buat filem lucah, keterlaluan atau sensitif.

“Tapi saya faham, bila ada ramai kepala (ahli LPF), mereka cuba play safe (cari jalan selamat),” katanya kepada mStar Online.

Jelas Bade, kira-kira tujuh bahagian dalam filem Sindiket yang diterajui Sharnaaz Ahmad dan Daphne Iking ‘hilang’ selepas suntingan LPF.

Biarpun akur dengan tapisan LPF yang merupakan prosedur wajib bagi setiap karya untuk tontonan umum, Bade berkata dia tetap tidak berpuas hati apabila filem yang mula menemui penonton pada Khamis lalu disunting dengan cara yang tidak kemas.

“Mestilah tak puas hati. Sebagai pengkarya takkan nak tengok filem itu kasar kerana dalam proses suntingan kita sudah susun dengan kemas.

“Tapi bila tonton semula filem yang ditapis, ada banyak beza dan banyak ‘kesan hitam’,” katanya.
Filem Sindiket mengetengahkan tentang isu pemerdagangan manusia yang berlaku di Malaysia dan antara mangsa yang melakonkan watak remaja diculik bagi tujuan itu ialah Liyana Jasmay dan Sharifah Amani.

Kedua-dua mereka diculik untuk dijadikan hamba seks.

Ditanya sama ada antara bahagian yang disunting itu membabitkan babak lakonan Liyana Jasmay dirogol, Bade segera menafikannya.

“Tak ada… adegan seks atau aksi bersentuhan tak ada. Apa yang ditayangkan hanyalah camera trick (helah kamera).

“Namun saya sedar ada babak yang menunjukkan seorang gadis terjun dari atas jambatan telah dipotong. Sepatutnya penonton boleh nampak aksi gadis berkenaan terjun… bukan senang nak buat aksi itu,” katanya. -mStar
loading...