Rabu, 5 April 2017

Saya Tak Perasan Yang Mayat Halimah Dalam Baldi

Selepas solat Isyak berjemaah, saya ke tandas. Pintu tandas ketika itu terbuka sedikit.

“Apabila saya tolak, nampak macam baju Halimah terapung dalam baldi. Saya tak perasan yang sebenarnya Halimah dalam baldi terbabit.”

Demikian kata saksi kejadian yang juga pelajar Madrasah al-Yamani, Siti Hawa Azhari, 17, mengenai Halimah Assaadiah, 1, yang dijumpai lemas dalam baldi berisi air, malam tadi.

Menurut Siti Hawa, anak ke-16 Allahyarham Ustaz Syed Mohd Fadzli Syed Ahmad Al-Yamani itu bermain seorang diri apabila dia bersama tujuh pelajar madrasah terbabit bersama ibu mangsa, Fatoom Ahmed Abdoh, 32, sedang solat berjemaah.

“Dia bermain seorang diri hingga masuk ke tandas. Kemudian botol susu yang dipegangnya dipercayai terjatuh ke dalam baldi terbabit. Halimah cuba mengambil botolnya, tapi dia tersungkur dan lemas dalam baldi.

“Biasanya pelajar yang uzur akan tengok-tengokkan dia. Tapi semalam, semua solat. Bila saya nampak Halimah tersembam dalam baldi, saya jerit memanggil ibunya,” katanya yang baru setahun belajar di madrasah terbabit.

Sementara itu, Mohd Abdurrahman Syed Mohd Fadzli, 21, anak sulung Allahyarham Ustaz Syed Mohd Fadzli berkata, dia diberitahu mengenai insiden menimpa adiknya oleh seorang pelajar madrasah.

“Seorang pelajar datang beritahu ketika saya sedang mengajar malam tadi. Adik mungkin sudah tiada ketika dalam perjalanan ke Pusat Rawatan Islam Kampung Baru sebelum saya membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.

“Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur malam tadi juga untuk bedah siasat,” katanya selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Gombak, 3.10 petang tadi.

Lokasi itu juga adalah tempat bapa mereka, Ustaz Syed Mohd Fadzli Syed Ahmad Al-Yamani yang dikebumikan pada 2 Oktober lalu selepas meninggal dunia di Guangzhou, China pada 27 September.

Mohd Abdurrahman yang juga anak sulung daripada 18 beradik berkata, dia sempat menghabiskan masa bersama adiknya itu minggu lalu dengan membawanya ke kedai.

“Pelajar perempuan beritahu saya, dia ada memeluk mereka semua sebelah pagi semalam sebelum meninggal dunia pada sebelah malamnya.

“Saya kadangkala meluangkan masa dengan adik-adik, dan sempat bawa arwah ke kedai minggu lalu. Dia adik yang periang tapi tidak banyak bercakap.

“Arwah ayah memang ada berpesan kepada saya sebelum ini untuk menjaga adik-adik termasuk pesanannya supaya menjadikan arwah adik sebagai hafizah satu hari nanti,” katanya.


Allahyarham Halimah Assaadiah yang jenazahnya terdahulu disembahyangkan di Surau Al Ikhwaniah Blok A Flat PKNS Kampung Baru adalah anak sulung Allahyarham Ustaz Syed Mohd Fadzli daripada dua beradik dengan isteri keempat, Fatoom.
loading...