Selasa, 4 April 2017

Saya Tidak Cari Publisiti Murahan Dedah Kemelut Rumahtangga Saya.

KOTA BHARU – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida menegaskan pendedahan pergolakan rumah tangga dengan suaminya, Fairuz Ahmad Zainuddin yang mendapat liputan meluas ketika ini bukan bertujuan untuk mencari publisiti murahan.

Dr. Vida, 46, berkata, beliau sebenarnya tidak mahu mendedahkan perkara tersebut kepada umum, namun terpaksa berbuat demikian selepas didesak memberikan reaksi terhadap khabar angin mengatakan rumah tangganya bergolak.

“Apabila wartawan ta­nya, saya terpaksa menjawabnya bagi mengelakkan timbul lebih banyak fitnah selepas ini.

“Saya ambil pendekatan menjawab soalan tersebut dengan hasrat untuk menjernihkan keadaan. Saya fikir itu lebih baik daripada berdiam diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Akhbar hari ini melaporkan Pengasas Vida Beauty itu meminta semua pihak supaya memberikan masa kepadanya untuk menempuh saat-saat getir ketika beliau dalam proses penceraian dengan suaminya.

Mengulas lanjut, katanya, beliau kecewa dengan sikap segelintir netizen yang mendakwanya sengaja memperbesar-besarkan isu tersebut sehingga menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang berlaku ini mungkin sudah ditakdirkan dan saya bersyukur kerana Allah SWT telah mempermudahkan segala urusan berkaitan dengan hal tersebut.

“Saya harap selepas ini tiada lagi pihak yang mengecam atau mengutuk berkaitan dengan hal yang berlaku. Beri masa kepada saya untuk menghadapi ujian ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan tidak akan memberikan sebarang komen berhubung punca sebenar penceraian mereka.

“Tidak ada gunakan jika saya mendedahkan perkara tersebut kepada umum. Cukuplah setakat saya sahaja dan bukan untuk dikongsi. Saya tidak mahu mengeruhkan suasana,” katanya.

Perkahwinan dengan Fairuz, 39, pada Januari 2014, merupakan yang ketiga bagi beliau. – UTUSAN
loading...