Selasa, 25 April 2017

Selepas Kaki Dipotong, Tangan Kanan Murid Mungkin Dipotong

Johor Baharu – Murid lelaki berusia 11 tahun yang didakwa dipukul pembantu warden di sekolah tahfiz di Kota Tinggi tidak bertindak balas dengan baik kepada rawatan dan mungkin kehilangan tangan kanannya.

Terdahulu, dilaporkan mangsa menerima rawatan penipisan darah bagi mengubati jangkitan di tangan kanan dan bahu kirinya, dan keluarganya hanya boleh mengetahui pada 8 malam Selasa sama ada tangan kanan mangsa perlu dipotong atau tidak.

Difahamkan darah beku pada bahu kiri hilang selepas rawatan dilakukan.

Ibu saudara mangsa, Dzuraidah Ahmad, 38, berkata, keadaan anak saudaranya tidak bertambah baik dan tangan dan jari kanannya kembali bertukar kehitaman selepas menunjukkan tanda-tanda sembuh pada Ahad.

“Kita doakan agar dia sembuh dan bersedia sekiranya doktor memutuskan pemotongan diperlukan bagi menyelamatkan nyawanya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah pada Selasa.

Tambahnya, doktor memberitahu mereka bahawa hanya bahagian lengan di bawah siku akan dipotong sekiranya perlu.

Dilaporkan kedua kaki mangsa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak ke bahagian badan yang lain.

Doktor kemudiannya mendapati tangan kanannya bertukar kehitaman akibat jangkitan kuman dan darah beku mula kelihatan di bahu kiri. – mStar
loading...