Isnin, 24 April 2017

Seorang Pelajar Maut Akibat Dipukul Abang Kekasihnya.

Gambar hiasan
Tawau – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di sini maut dipercayai akibat kecederaan selepas dipukul abang seorang rakannya di padang Kampung Sentosa, di sini, petang semalam.

Mangsa, Mohd Ayieruchizamsyah Lambang, 16, ditemui mati oleh ibunya jam 7.30 pagi tadi ketika mengejutkannya untuk bangun.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata berdasarkan keterangan ibu mangsa, anaknya pulang ke rumah dengan kesan lebam di pipi selain hidung berdarah pada jam 7.30 malam tadi.

“Mangsa juga ada memaklumkan ibunya bahawa dia dipukul oleh seorang yang tidak dikenali sebelum terus masuk ke bilik pada jam 8 malam.

“Bagaimanapun mangsa didapati meninggal dunia pada jam 7.30 pagi tadi apabila ibu cuba mengejutkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Siasatan awal polis katanya, mendapati motif kejadian itu disebabkan suspek marah kerana mendapati adik perempuannya berkawan dengan mangsa.

Suspek dikatakan marah apabila adiknya sering keluar rumah mengikut teman lelaki menyebabkannya bertindak memukul mangsa apabila ternampak mereka berdua-duaan di padang berkenaan.

“Suspek dipercayai menumbuk pipi sebelum memukul bahagian tengkuk mangsa menggunakan sebatang kayu menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya.

Fadil berkata, pemeriksaan fizikal mendapati mangsa mengalami lebam di belakang tengkuk, bibir kiri dan kesan calar di dahi.

Katanya, suspek utama kes pembunuhan itu yang berumur 18 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar sudah ditahan pada jam 10.45 pagi tadi selepas diserahkan penduduk kampung.

Katanya, suspek direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BH Online
loading...