Isnin, 17 April 2017

Suami Serina Buat Kenyataan Balas, Nafi Dakwaan Chef Wan

KUALA LUMPUR – Berikutan pendedahan yang dibuat oleh Chef Wan berhubung sifat menantunya, Gavin Edward O’luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar yang kedekut, suami kepada Serina Redzuwan itu tampil membuat kenyataan balas.

Menurut kenyataan di laman blog beliau, Gavin berkata, sepanjang bersama-sama Serina, beliau telah melakukan yang terbaik dengan menyediakan kesemua keperluan Serina dan dua orang anaknya.

“Saya telah menyediakan sebuah penthouse mempunyai enam bilik tidur, membayar semua bil-bil keluarga, membayar pembantu rumah, pergi bercuti selain memastikan kedua-dua anak kami pergi ke sekolah antarabangsa supaya mereka boleh mendapat pendidikan yang terbaik,” kata Gavin.

Gavin turut mendakwa terkejut dengan tindakan Serina yang meminta wang saku tambahan sedangkan pendapatan yang diterima beliau adalah lebih besar berbanding dirinya.

“Serina telah memperoleh pendapatan yang agak besar dimana beliau simpan dan gunakan untuk dirinya.

“Saya tidak kisah kerana semua perbelanjaan keluarga adalah tugas saya dan saya sedar tanggungjawab saya sebagai seorang suami dan saya fikir saya telah sediakan keperluan dengan sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Chef Wan sebelum ini, sudah menjadi tanggungjawab Gavin untuk memenuhi keperluan atau nafkah kepada Serina seperti khutbah yang disampaikan kadi sebelum mereka bernikah.

“Tiada istilah duit saya adalah duit saya dan duit awak juga perlu disumbangkan kepada keluarga, nafkah tetap tanggungjawab suami,” kata Chef Wan melalui akaun Instagramnya.

Gavin dan Serina mula berkenalan sejak tahun 2009 sebelum Gavin memeluk Islam pada 2006.

Mereka kemudiannya memutuskan untuk berkahwin pada tahun 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tristan (6) dan Isabella (5).

Setelah tujuh tahun, Serina dikatakan mengambil keputusan untuk berpindah keluar dari rumah pada Januari tahun lalu dan memohon untuk diceraikan Gavin.

“Saya tidak faham dan masih tidak memahami sebab-sebab mengapa dia meninggalkan saya kerana dia tidak memberitahu saya sebabnya. Walau bagaimanapun, saya berharap kata sepakat boleh dicapai dan hubungan perkahwinan kami dipulihkan,” jelasnya.

Justeru, Gavin berharap media dan orang ramai boleh memnghormati serta memberikan sedikit ruang kepada mereka berdua untuk mencari jalan terbaik memulihkan keadaan rumahtangga mereka. – MalaysiaGazette.
loading...