Khamis, 27 April 2017

Surat Terbuka Untuk Thaqif, Maafkan Kami Yang Selalu Sibuk Dengan Segala Kekalutan Sia-Sia.

Ke hadapan anakanda Thaqif, Kita tidak pernah bertemu, apa lagi saling mengenali. Cuma kami mula mendengar nama anakanda mulai minggu lalu. Sejak itu dari sehari ke sehari ayahanda mula terdengar orang bercerita tentang anakanda.

Entah berapa kali ada orang menunjukkan gambar kaki anakanda kepada ayahanda dan entah berapa kali juga ayahanda melihatnya sekali imbas saja.

Bukanlah kerana ayahanda benci, jijik atau meluat dengan gambar kaki anakanda yang menghitam itu, bahkan kerana luluhnya perasaan mengenangkan betapa sakit dan risaunya anakanda dan keluarga menanggungnya.

Seberat manalah mata yang memandang berbanding, bahu yang memikul, tentu berat lagi menanggung sendiri beban dugaan sebegitu.

Sejak petang semalam, sesungguhnya terlampau banyak gelora yang melanda dalam jiwa tetapi terlalu sedikit kata-kata yang dapat menggambarkan apa yang sebenarnya kami rasa.

Anakanda Thaqif,
Kita ditakdirkan bernafas dalam dunia yang sakit. Malangnya kesakitan itu selalu pula sentiasa kami nafikan. Ia adalah kesakitan bersama, tetapi kami enggan mengakuinya sebagai kesakitan. Kami hidup selesa dengan berpura-pura dan menafikan ketika langkah pertama mengatasi masalah ialah mengakui adanya masalah.

Masalah saling curiga mencurigai, masalah berebut kuasa, masalah berasa diri sendiri suci, berebut-rebut menjadi badut dan berlumba-lumba menjadi enau dalam belukar.

Pada masa sama sebahagian besar kita juga bergelut dengan masa dan kehendak semasa tanpa ada pilihan yang banyak.

Maka datanglah penjual-penjual mimpi membawa karung yang besar berisi angan-angan. Di tangannya kadang-kadang tergenggam tasbih, atau kitab itu ini menagih kepercayaan orang ramai.

Kita dikhabarkan bahawa agama adalah jawapan kepada segala kerumitan. Tetapi pada masa sama agama diuruskan seperti komoditi atau hak peribadi.

Syurga dan neraka adalah hak eksklusif orang tertentu yang boleh menghukum sesiapa saja yang tidak sependapat dengannya.

Thaqif yang dihormati,
Dalam keributan berebut-rebut menjadi juara agama, kami jadi alpa kepada suara-suara terpendam pada halkum orang lain seperti anakanda. Surat-surat tidak terkirim atau catatan-catatan terpendam menjadi laungan terendam dalam diam.

Kita hidup dalam dunia yang serba sakit, anakanda.

Benar sangatlah bahawa perancangan Allah itu adalah yang terbaik. Tetapi pada kebanyakan, masa kami jadikan ungkapan itu sebagai dalil untuk melepaskan diri daripada rasa bersalah diri sendiri. Kami tidak pernah mahu mengaku salah.

Agaknya kita selama ini sudah tersilap mentafsir agama dan bangsa. Atas nama agama - atau biasanya disertakan dengan justifikasi bangsa - kami selalu tertipu kerana berasa diri terlalu tinggi, angkuh dan berhak berbuat apa saja sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

Agama - atau bangsa - memang menjadikan seseorang istimewa. Tetapi keistimewaan itu tidak menghalalkan kita berbuat apa saja bahkan 'kelebihan' itulah yang membawa kepada rasa rendah diri, membumi dalam jutaan kekurangan, bukan melangit dengan kesombongan.

Kita sepatutnya hidup dalam dunia yang penuh kasih sayang.

Atas nama kecintaan kepada agama - dan bangsa - kami sepatutnya lebih berhati-hati, sentiasa bimbang kemurkaaan Tuhan dan harus mengawal diri.

Namun sebaliknya, anakanda, agama - dan bangsa - yang difaham secara songsang tanpa disedari itulah yang selalu membawa kami lupa diri.

Berehatlah dengan tenang, anakanda. Doa-doamu yang tercatat dalam buku latihanmu sudah termakbul rasanya. Di mata dunia anakanda mungkin belum menjadi huffaz seperti yang anakanda impikan. Tapi keinginanmu berpindah sudah terlaksana.

Tuhan tidak membawa anakanda ke sekolah baru, sebaliknya Dia memindahkan anakanda ke alam baru, sebuah tempat yang jutaan kali lebih baik daripada sekolah baru.

Ia tempat selayaknya untuk anakanda yang sentiasa bercita-cita menjadi anak yang taat kepada ibu bapa.

Berehatlah dengan tenang anakanda. Dan maafkan kami yang selalu sibuk dengan segala kekalutan sia-sia.-Malaysiakini
loading...