Jumaat, 7 April 2017

Suri Rumah Dikelar Dan Ditikam 11 Kali Sebelum Disamun.

Sandakan: Suri rumah parah selepas dikelar serta ditikam 11 kali dalam kejadian samun di Kampung Sungai Kayu, Batu 7 dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 6.17 pagi itu, wanita berkenaan dilaporkan parah di leher, dada, perut, kaki, tangan serta belakang tengkuk dan kini dirawat di Wad Rawatan Rapi Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, ketika kejadian, mangsa berada di rumah sebelum dipercayai disamun suspek lelaki.

Beliau berkata, suspek dipercayai menikam dan mengelar mangsa menggunakan senjata tajam sebelum melarikan diri dengan dua rantai emas milik wanita berkenaan.

“Mangsa sempat menghubungi ahli keluarganya untuk meminta bantuan sebelum dibawa ke HDOK Sandakan. Dia kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek adalah jirannya yang juga lelaki wargan Filipina berusia 40-an dan disyaki tiada keterangan diri yang sah serta sering diupah orang kampung untuk memotong rumput,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, pihaknya masih giat memburu suspek yang dilaporkan tinggal di kampung itu sejak 2008 dan kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.-Harian Metro
loading...