Khamis, 13 April 2017

Suspek Bunuh Jong-nam Risau Keselamatan Bapanya

KUALA LUMPUR: Wanita warganegara Vietnam, Doan Thi Huong yang dikaitkan dengan kes pembunuh Kim Jong-nam mengakui lebih risau keselamatan bapanya berbanding diri sendiri.

Tran Huy Hoang berkata, Thi Huong telah bertemu dengan bapanya selama satu jam lebih di Penjara Kajang pada Rabu, dan melahirkan perasaan bimbang.

Huy Hoang berkata, dia dan bapa kepada sepupunya itu, Doan Van Thanh berada di Malaysia selepas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Vietnam menanggung perbelanjaan untuk ke sini.

Mereka tiba di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

"Selepas pertemuan pagi ini, bapanya kelihatan gembira dan dia juga kelihatan lebih baik.

"Dia tidak lagi sedih, namun Thi Huong lebih risaukan keselamatan bapanya di sini.


"Dia telah meminta kedutaan Vietnam untuk menyediakan tempat untuk bapanya tinggal di situ dan memberi perlindungan keselamatan sehingga selamat pulang ke Vietnam," ujar Huy Hoang kepada media pada Rabu.

Thi Huong,29, turut meminta supaya bapanya tidak hadir di Mahkamah Sepang pada Khamis dan terus berada di kedutaan demi keselamatannya.

"Kami boleh hadir ke mahkamah esok, namun selepas perjumpaan hari ini, Thi Huong meminta bapanya supaya berada di kedutaan. Jadi mungkin Mr Thanh tidak pergi ke mahkamah," jelas Hoang.

Jelas Huy Hoang, dia tidak dibenarkan hadir ke bilik mahkamah memandangkan dia bukan keluarga terdekat.

Thi Huong bersama seorang lagi suspek wanita dari Idonesia, Siti Aisyah,25, akan berada di Mahkamah Majistret Sepang pada Khamis dan kemungkinan kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 1 Mac lalu, kedua-dua mereka didakwa  didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

Dalam kejadian 13 Februari lalu, Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un maut selepas mukanya disapu dengan cecair ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).-mStar Online
loading...