Sabtu, 22 April 2017

Suspek Kes Rogol Remaja Berusia 15 Tahun Masih Bertugas Di Balai Polis.

SEREMBAN – Bapa kepada mangsa rogol remaja berusia 15 tahun kecewa kerana suspek yang merupakan anggota polis berpangkat sarjan masih dibenarkan untuk terus bertugas di balai polis yang sama.

Bapa mangsa, John, 40, berkata, sepatutnya anggota berkenaan sudah dikenakan tindakan tatatertib tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil terhadap suspek.

John berkata, anaknya masih trauma dan mengalami kesakitan akibat perbuatan suspek yang tidak berperikemanusiaan.

“Kalau perbuatan itu dilakukan oleh orang biasa dan bukannya anggota polis, agaknya sudah lama dia ditangkap,” katanya kepada pemberita bersama wakil rakyat DAP di hadapan IPK Negeri Sembilan selepas menyerahkan memorandum kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Norazman Muhamad Yusof.

John berharap, kes tersebut dapat dijalankan dengan adil dan telus tanpa memberi apa-apa keistimewaan kepada suspek.

Sementara itu Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin meminta pihak polis menggantung tugas anggota terbabit bagi memberi keadilan kepada mangsa.

“Saya dah jumpa pegawai penyiasat dan saya dimaklumkan anggota itu masih bertugas seperti biasa, cuma ditukarkan jabatan sahaja.

“Sepatutnya suspek digantung kerja sehingga proses siasatan berakhir agar dapat dilakukan secara adil dan menyeluruh,” katanya.

Katanya, dia terlibat dalam kes itu bukan semata-mata sebagai wakil rakyat sebaliknya atas kapasitinya sebagai seorang peguam.

Manakala Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong berkata, dia akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan jika tiada tindakan selanjutnya kes itu akan dibawa dalam sidang parlimen akan datang.

“Ini kes serius, lebih-lebih lagi bila ia melibatkan anggota polis. Dalam sidang parlimen lalu pun BN dan kami pembangkang sokong sepenuhnya rang undang-undang kesalahan jenayah seksual kanak-kanak,” katanya.

Turut hadir, Adun Rahang Mary Josephine.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis didakwa merogol anak perempuan kawan karibnya pada 2 April lalu ketika menumpang tidur di rumah mangsa yang tinggal bersama bapanya.

Kejadian disedari oleh bapa mangsa kira-kira jam 4 pagi apabila melihat suspek berada di bahagian dapur dalam keadaan tidak terurus dan bergegas keluar rumah secara tergesa-gesa.

Kejadian itu hanya diceritakan mangsa kepada ibu saudaranya sebelum laporan polis dibuat oleh bapanya pada 4 April lalu.-Sinar Harian
loading...