Isnin, 24 April 2017

Susulan Kejadian Peluru Sesat, Bapa Ambil Tindakan Undang-undang.

Alor Setar – Bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang cedera terkena tembakan sesat dilepaskan pemburu burung ayam-ayam, semalam, akan mengambil tindakan undang-undang.

Bakar Saad, 45, berkata tindakan itu adalah sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika mengendalikan senjata.

“Sebagai bapa, saya akui marah dengan kejadian ini. Anak saya yang tidak berdosa terkena tembakan ketika sedang makan di dapur rumah bersama keluarga.

“Akibatnya, anak saya cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.

Dalam kejadian di Kampung Lubok Keriang, dekat Lesong di Langgar, di sini, kira-kira jam 6.30 petang semalam, Nur Syahida Bakar, yang juga anak kedua daripada empat beradik cedera terkena peluru penabur selepas tembakan dilepaskan pemburu burung ayam-ayam tersasar ke arah dapur rumah mangsa.

Ketika kejadian, mangsa bersama keluarganya sedang makan di dapur rumah.

Sementara itu Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata kanak-kanak itu kini dalam keadaan stabil.

“Kanak-kanak itu mengalami kecederaan dengan 14 kesan tembakan di beberapa bahagian tubuh antaranya dahi, sendi bahu kanan, bahagian atas tangan kanan, siku kanan, sendi peha kanan, lutut kanan dan bahagian dada.

“Kanak-kanak itu dalam keadaan sedar dan stabil selepas dua daripada peluru terbabit dikeluarkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSB, semalam. Baki peluru akan dikeluarkan hari ini,” katanya. – BH Online
loading...