Ahad, 23 April 2017

Takut Sampai Tercirit

Dua wanita dari Pattani, Thailand ketakutan hingga terberak apabila ditahan penguat kuasa yang melakukan Op Bersepadu Menyelamat Pengemis di sekitar Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi, dua wanita berkenaan antara 27 orang yang ditahan berusia 30-an dan 60-an membabitkan pelbagai kesalahan antaranya penyalahgunaan visa, melakukan pungutan tanpa kebenaran jabatan agama dan berniaga tanpa permit.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Siti Fatimah Ismail berkata, operasi bersepadu JKM negeri itu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilakukan bagi membanteras kegiatan mengemis yang mengganggu orang ramai terutama di kedai makan.

“Dua wanita Pattani itu yang masing-masing menjual keropok dan meminta sedekah kononnya mahu mendirikan masjid di sana jelas menyalahi undang-undang kerana menyalahgunakan visa.

“Kedua-dua wanita asing berkenaan berusia lingkungan 40-an dan 60-an menyapa anggota JKM, JIM dan JAIS di sebuah restoran di Seksyen 9 yang berpakaian preman untuk menjual keropok dan mengutip derma, bagaimanapun sebaik anggota JIM memperkenalkan diri mereka ketakutan serta meraung,” katanya kepada Metro Ahad, di sini, semalam.

Siti Fatimah berkata, kedua-dua wanita itu bertindak agresif dan menangis minta dilepaskan hingga terbuang air besar kerana ketakutan.

“Bagaimanapun, kami berjaya mengawal keadaan dengan memberitahu tujuan operasi diadakan untuk menyelamatkan mereka daripada dipergunakan ejen.

“Mereka mendakwa hanya menerima sedikit komisen contohnya berniaga sebungkus keropok berharga RM10, ejen akan memberikan RM2 untuk setiap bungkusan yang dijual,” katanya.

Katanya, operasi berlangsung enam jam itu turut menahan seorang lelaki Pakistan yang menyalahgunakan visa sebagai buruh binaan dengan menjual pelekat doa kononnya kerja sampingan hujung minggu.

“Operasi ini diadakan di kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti hasil risikan dan aduan yang diterima JKM.

“Daerah Hulu Langat mencatatkan statistik tertinggi pengemis iaitu 37 orang ditahan setakat Mac tahun ini diikuti Subang Jaya seramai 26 orang,” katanya.

Menurutnya, seramai 70 warga Malaysia dan 96 warga asing pengemis ditahan di seluruh Selangor setakat Mac tahun ini.
loading...