Jumaat, 21 April 2017

Tuhan, Tolong Selamatkan Kakak Saya – Adik Julia Perez

Hanya doa supaya kakaknya, Julia Perez (JuPe) segera sembuh yang mampu diluahkan Nia Anggia berikutan keadaan kesihatan penyanyi dan pelakon popular itu semakin merosot.

Menerusi laman sosial Instagramnya, Nia memohon agar semua pihak mendoakan supaya kesihatan JuPe yang dilaporkan semakin kritikal dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Ya Tuhan, tolong dengar doa saya. Selamatkan kakak saya. Dialah segala-galanya buat saya,” luah Nia menerusi kapsyennya yang mendapat komen mengharukan daripada peminat.

Dalam pada itu, menerusi beberapa laporan portal hiburan Indonesia, ramai kenalan dalam kalangan artis sempat meluangkan masa menziarahi JuPe yang sedang menanggung derita kanser serviks tahap empat.

Antara rakan-rakan artis yang hadir adalah Ruben Onsu, Ayu Dewi, Maia Estianty dan Luna Maya. Penyanyi Dewi Persik yang pernah terlibat dalam satu perselisihan faham dengan JuPe juga sempat menziarahi penyanyi itu.

Malah bekas suami JuPe, pemain bola sepak yang berasal dari Argentina, Gaston Castano juga hadir memberikan semangat kepada penyanyi yang cukup popular dengan lagu Aku Rapopo itu. – Utusan
loading...