Selasa, 4 April 2017

Video Nazri Pesan Kepada Tun Mahathir Jangan lari,

Ahli Parlimen BN-Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata cadangan debat antara beliau dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad hanya berunsur intelektual dan bukan bertujuan mencetuskan demonstrasi atau protes terhadap kerajaan.

Sambil menyifatkan debat itu sebagai amalan demokrasi sihat, Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan masih berharap ia dapat dianjurkan di tempat terbuka dan melibatkan penyertaan orang awam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di bangunan Parlimen, semalam.

Terdahulu, permit debat yang dijadual pada 7 April ini dibatalkan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam berikutan polis menerima 18 laporan daripada orang awam di Selangor yang membantah debat itu diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Ini adalah pembatalan kali kedua selepas polis juga tidak mengeluarkan permit penganjuran debat itu yang dijadualkan pada 25 Mac lepas di Padang Rengas.
  
Nazri menafikan dirinya 'terganggu' apabila memikirkan debat dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu skandal 1MDB.

Kata Nazri, walaupun debat tersebut dibatalkan oleh polis, beliau masih menaruh harapan kepada Sinar Harian supaya menganjurkan program tersebut.
  
Nazri juga turut mencadangkan debat itu diadakan di auditorium polis di Cheras, atau lebih baik lagi, di Antartika.

Ini kerana katanya, di Antartika "penguin tidak faham Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, dan oleh itu, tidak akan berlaku rusuhan." Malaysia Kini.
loading...