Sabtu, 8 April 2017

Video Penumpang Ugut Pemandu Uber, Dituduh Merogolnya Kerana Tiada Pengecas Telefon

NEW YORK – Seorang penumpang Uber mengancam menuduh pemandunya merogolnya kerana lelaki berkenaan tiada pengecas telefon bimbit.

Rakaman video ‘dashcam’ menunjukkan kesabaran pemandu terbabit mendengar leteran, ugutan dan makian berbentuk rasis selama lapan minit.

Kejadian dirakam di Bronx, New York, itu mencetuskan kemarahan pengguna Internet terhadap wanita terbabit dengan ramai yang turut memuji kesabaran pemandu itu, lapor Daily Mail.

Dalam video itu, wanita berkenaan dilihat menjerit dari tempat duduk belakang: “Saya akan mula menjerit yang kamu merogol saya.

“Saya akan menumbuk wajah sendiri dan memberitahu polis kamu melakukannya. Kamu mahu mencari pasal dengan saya? Siaplah kamu dipenjara kerana keganasan rumahtangga.”

Pemandu itu dengan tenang menjawab: “Saya tidak mempunyai pengecas telefon bimbit. Jika kamu tanya dengan baik, saya juga akan bertanya dengan baik.”

Wanita itu kemudian mengarahkan pemandu itu menelefon telefon bimbitnya namun tidak diendahkan sebelum dia akhirnya keluar dan memaki hamun orang ramai dalam bahasa Sepanyol serta Inggeris.

Sebaik berseorangan, pemandu itu memandang kamera dan berkata: “Inilah nasib pemandu Uber setiap hari. Orang tidak menghormati kami.”

Jurucakap Uber berkata: “Perangai penumpang itu tidak boleh diterima. Uber tidak bertolak ansur dengan pengguna kami yang berkelakuan seperti itu.

“Akaun pengguna itu sudah dibatalkan dan Uber sedang menyiasat kejadian ini.”- AGENSI/MD
loading...