Khamis, 6 April 2017

Walaupun Sudah Bercerai, Pasangan Bekas Suami Isteri Ini Mengambil Gambar Bersama Demi Anak Mereka

Victoria dan Adam telah membuat sesi bergambar sejurus selepas mengetahui bahawa Victoria sedang hamil anak pertama mereka. Selepas anak mereka, Bruce, dilahirkan, mereka menyambut kehadirannya itu dengan satu lagi sesi bergambar, kali ini bertiga.

Walau bagaimanapun, perkahwinan mereka tidak kekal lama. Pada tahun 2014, mereka telah memfailkan perceraian di Ohio.

Bruce, walaupun masih kecil menyedari situasi tegang antara kedua ibu bapanya itu. Pasangan itu sedar impak perceraian mereka kepada anak kecil mereka itu.

Pada ketika itu, Victoria nekad membuat keputusan untuk berusaha mengekalkan komunikasi positif dengan bekas suaminya.

Antara langkah yang dilakukan ialah dengan mengajak bekas suaminya itu untuk menyertai sesi bergambar yang telah ditempah olehnya.

Adam bersetuju dan mereka bertiga menjayakan aktiviti tersebut.

Victoria telah berkongsi hasil foto sesi bergambar itu melalui laman Love Wht Matters di Facebook bersama mesej yang sangat menyentuh hati para pembaca.

“Gambar awal yang saya muat naik ialah gambar semasa Adam dan saya masih bergelar suami isteri. Gambar kemudian pula diambil kira-kira dua tahun selepas perceraian kami disahkan.

Kami bukan dilamun cinta, kami tidak sentiasa bersetuju dengan satu sama lain, kami bukan kawan baik dan kadang-kadang kami tak suka antara satu sama lain.

Namun, apabila kami ketepikan semua perkara itu, kami kekal terhubung sampai bila-bila sebagai ibu bapa seorang anak yang sangat bijak. Kami hormat satu sama lain dan tugas kami sebagai ibu bapa sangat penting dalam kehidupannya.

Kami berdua seharusnya bersama dia dan kami berhak untuk membina memori indah bersamanya. Walaupun hubungan kami tidak berkekalan, kami tidak menyalahkan sesiapa.”

“Kami bukan ibu bapa sempurna, tetapi kami membuat perjanjian untuk mengutamakan anak kami. Walaupun Bruce tidak dibesarkan dengan ibu bapa yang tinggal serumah, kami harap dia membesar dengan melihat nilai-nilai hormat, empati dan pengorbanan seperti yang kami tunjukkan.

Saya harap anak kami tahu bahawa ianya tidak mustahil untuk kekal akrab walaupun tidak lagi saling mencintai.”

Bruce kini sudah berusia 4 tahun. Mereka yang baru sahaja selesai melakukan satu lagi sesi bergambar menyatakan hasrat untuk mengekalkan aktiviti ini sebagai satu tradisi.-Era Baru
loading...