Khamis, 6 April 2017

Walaupun Sudah Diharamkan Perkahwinan Hantu Masih Popular

Beijing – Walaupun sudah hampir 70 tahun diharamkan, pihak berkuasa China hingga ke hari ini masih bergelut dalam usaha menangani kegiatan mencuri mayat untuk ‘perkahwinan hantu’.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan, kegiatan haram itu masih wujud di kawasan pendalaman, khususnya di bahagian utara negara tersebut.

Ia membabitkan usaha keluarga untuk mendapatkan mayat wanita bagi ditanam bersama mayat lelaki yang belum berkahwin, kononnya supaya lelaki berkenaan tidak kesunyian dalam kehidupan selepas mati.

Menurut laporan berkenaan, kepercayaan itu mendatangkan keuntungan besar kepada penjenayah yang bersedia mendapatkan mayat wanita, kadang kala hingga melakukan pembunuhan.

Mayat itu kemudian akan dijual kepada keluarga yang kematian anak bujang dan sanggup membayar ratusan ribu yuan untuk satu mayat.

Amalan ‘perkahwinan hantu’ telah pun diharamkan secara rasmi oleh pihak kerajaan pusat pada 1949 lalu.

Di Hongtong, daerah di wilayah Shanxi yang didiami 760,000 penduduk, 27 mayat wanita dilapor dicuri sepanjang tiga tahun lalu.

Jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana ada keluarga malu untuk melaporkan kehilangan mayat anggota keluarga mereka.

Menurut Xinhua, seorang lelaki bernama Ching Ming membelanjakan 180,000 yuan (RM116,000) untuk membeli mayat seorang wanita untuk ‘dikahwinkan’ dengan anaknya yang sudah mati.

Dia terpaksa sentiasa menjaga kubur anaknya bagi memastikan mayat wanita itu tidak dicuri untuk dijual kepada pihak lain. – Agensi
loading...