Ahad, 23 April 2017

Wanita Berusia 21 Tahun Maut Dibakar Tunang

Johor Bahru: Wanita 21 tahun maut selepas melecur hampir 95 peratus dipercayai dibakar lelaki yang sekurang-kurangnya tiga tahun menetap bersamanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), pada 11.03 pagi, Sabtu.

Beliau berkata, lelaki yang disyaki membakar mangsa bukanlah suami wanita itu sebaliknya hanya tunang yang tinggal bersamanya tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Katanya, lelaki berusia 28 tahun itu sudah ditahan di HSA ketika mendapatkan rawatan, semalam.

“Suspek lelaki ini dipercayai penagih dadah kerana ujian saringan awal air kencingya positif bahan itu. Dia dan mangsa kedua-duanya tidak bekerja.

“Hasil siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca akibat pertengkaran antara mereka.

“Lelaki itu mendakwa menyesal kerana mempunyai hubungan tiga tahun dengan mangsa sehingga melahirkan anak tidak sah taraf yang kini berusia 18 bulan,” katanya.

Sulaiman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-Harian Metro
loading...