Rabu, 26 April 2017

Wanita Hamil Maut Jatuh Ketika Jemur Tilam

Kota Kinabalu – Seorang wanita yang hamil lima bulan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah apartmen di Taman Sri Kepayan di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mayat Jeaquiline Ribot, 25 tahun, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh jirannya sebelum dimaklumkan kepada pengawal keselamatan.

Harian Metro melaporkan, pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George berkata, siasatan awal mendapati mangsa disyaki terjatuh ketika menjemur tilam di ruang kaki lima di tingkat tiga apartmen berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati sebatang besi paip berukuran hampir 0.6 meter yang dijadikan tempat menyidai pakaian tercabut.

“Mangsa dipercayai berdiri di atas sebuah kerusi plastik warna hitam lalu menekan tilam itu menyebabkan batang paip berkenaan tercabut daripada kimpalan besi pagar lalu mangsa terjatuh pada ketinggian 12 meter.

“Siasatan juga mendapati kimpalan di antara batang paip dengan batang besi pagar adalah tidak kukuh menyebabkan batang paip itu tercabut,” katanya.

Jelasnya, pemeriksaan di tempat kejadian tiada sebarang unsur jenayah atau pecah rumah dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Mynewshub
loading...