Jumaat, 28 April 2017

WanitaSembunyi Bawah Katil Elak Ditangkap

Georgetown –  Kelicikan seorang wanita warga asing bersembunyi di bawah katil dalam sebuah bilik bagi mengelak ditahan pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri gagal apabila ditahan dalam Op Ikrar di sebuah kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Prai, dekat sini, kelmarin.

Wanita berusia 20-an itu pada mulanya tidak menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa bersembunyi di bawah katil bagi mengelak dikesan.
Sumber berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pihaknya gagal menemui wanita itu yang bersembunyi di bawah katil kerana dilindungi beberapa peralatan termasuk perabot, kayu dan sebagainya.

“Tindakan wanita itu dikesan beberapa minit kemudian apabila pihaknya mengesan ada benda bergerak di bawah katil sebelum mengarahkannya keluar untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati wanita warga Indonesia berusia 20-an itu tidak memiliki pas atau permit kerja sah selain menjalin hubungan cinta dengan teman lelaki warga Bangladesh di kilang itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen negeri Khwaja Banthey Mohamed Haneef ketika dihubungi mengesahkan tangkapan wanita warga Indonesia itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau berkata, Op Ikrar bermula dari jam 9 malam hingga 2 pagi itu membabitkan sepasukan 20 pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri dan tertumpu di beberapa lokasi sekitar Prai, Bukit Mertajam, Simpang Ampat , Kepala Batas, Bukit Tengah dan Nibong Tebal.

Katanya, operasi berkenaan tertumpu di beberapa kawasan kilang IKS, restoran, gerai makanan, rumah pangsa, kedai runcit dan rumah kedai. Seramai 81 lelaki dan wanita warga asing pelbagai negara diperiksa di 15 lokasi pemeriksaan.

“Seramai 34 warga asing ditahan membabitkan 22 lelaki dan 12 wanita berusia antara 20 hingga 40-an dari Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Thailand.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c), Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 15 (1) (c), akta sama dan mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen negeri untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya. – Harian Metro
loading...