Sabtu, 8 April 2017

Warga Pakistan Cabul Kehormatan Seorang Wanita Didenda.

KUALA LUMPUR – Seorang pelancong warga Pakistan didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, minggu lepas.

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap ahli perniagaan, Muhammad Hash Ghous, 46, kerana telah menggunakan kekerasan jenayah dengan cara memegang erat bahu wanita berusia 28 tahun itu dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di hadapan lif Menara Kuala Lumpur pada 9.45 malam, 27 Mac lepas.

Bapa sembilan anak itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam P. Sutheswary memohon hukuman ringan dan ketika kejadian anak guamnya mahu mengambil gambar bersama mangsa secara berkumpulan dan dengan tidak sengaja melakukan perbuatan itu.

Katanya selepas kejadian itu tertuduh terus memohon maaf kepada wanita itu.

Timbalan Pendakwa Raya K.Vasugi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.-BERNAMA
loading...