Selasa, 4 April 2017

Zakir Naik Tidak Tersenarai Sebagai Entiti Pengganas – KDN

Kuala Lumpur – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memaklumkan bahawa pendakwah Dr. Zakir Naik dibenarkan masuk ke negara ini kerana tidak tersenarai sebagai entiti pengganas dalam senarai undang-undang antarabangsa.

KDN berkata, nama Zakir Naik tidak terkandung dalam senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) 1988 dan UNSCR 1267.

“Oleh itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tiada halangan ke atas kemasukannya kerana tidak melanggar undang-undang negara,” kata KDN dalam jawapan bertulis kepada M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) di Dewan Rakyat.

Kulasegaran ingin tahu dakwaan kononnya pendakwah kelahiran India itu dikatakan terlibat dalam aktiviti keganasan di beberapa negara dan mengapa kerajaan masih belum menghalangnya memasuki Malaysia.

Menurut KDN, JIM menyenaraihitamkan semua individu yang dianggap membawa ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman negara berdasarkan maklumat disalurkan agensi penguat kuasa berkaitan.

Jelas kementerian itu lagi, seseorang individu tidak akan disenaraihitamkan hanya berdasarkan laporan media melainkan agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat berkaitan untuk tindakan JIM.

Menurut KDN, seramai 1,220,054 orang dihalang memasuki Malaysia bagi tempoh 2010 hingga 2017. – Bernama
loading...