Rabu, 19 April 2017

Zuriat Tanpa Kasih Sayang.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris kepada seorang kanak-kanak bernama Balqis berusia tiga tahun bagi membantu kes berkenaan hak penjagaan yang akan disebut di Mahkamah Klang esok.

Menurut JKM Klang, kanak-kanak yang merupakan warga tempatan ini tinggal di sebuah Rumah Kebajikan Kanak-kanak sudah lebih tiga tahun.

“Ibu kandungnya sudah meninggal dunia dan saya sedang mencari waris-waris lain sama ada adik- beradik ibunya, nenek dan yang berkaitan.

“Berdasarkan makluman yang kami peroleh, ibu Balqis bernama Noraida Zamri (821227-10-5500) dan alamat terakhir yang dikesan adalah di B 27, Felda Ulu Jempol, Bandar Jengka, Pahang,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada masa sama, menurutnya, siasatan ke alamat itu telah dibuat, bagaimanapun kediaman itu telah dihuni orang lain.

“Penghuni berkenaan memaklumkan keluarga ibu kandung kanak-kanak berkenaan telah berpindah ke Felda Jengka 23, Temerloh, Pahang.

“Pihak JKM gagal menjejaki mereka berikutan alamat yang diberikan tidak lengkap,” katanya.

Katanya lagi, sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan keluarga Balqis diminta memaklumkan kepada JKM Klang segera.
loading...