Rabu, 3 Mei 2017

AFC CUP: Misi Hidup Mati JDT Berdepan Magwe FC Malam Ini.

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berdepan tugas getir kerana perlu memastikan menang dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan F Piala AFC berdepan Magwe FC di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin  malam ini, lapor SHAFIQ TINO.

Harimau Selatan perlu menang sekiranya mahu layak separuh akhir Zon Asean berikutan format baru saingan tersebut musim ini.

Mengikut format itu, sebanyak 11 pasukan dari Zon  Asean  membabitkan tiga  kumpulan  iaitu kumpulan F, G dan H perlu berentap  bagi  merebut empat tempat ke pusingan seterusnya.

Jurulatih JDT, Ismail Ibrahim berkata, pertembungan malam ini ibarat misi hidup mati Harimau Selatan memandangkan hanya kemenangan menjamin pasukan terus berada dalam saingan AFC.

"Ini perlawanan penting buat JDT dan kami akan bekerja keras memastikan pasukan mampu kutip tiga mata.

“Ia bukan tugas yang mudah, kami tidak boleh melakukan kesilapan kerana melihat kepada perlawanan lalu corak permainan mereka adalah bermain hantaran jauh dan mempunyai pemain yang laju.

“Jadi meskipun hanya kesilapan kecil, saya percaya mereka akan menggunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan jaringan,” katanya pada sidang media Piala AFC di Hotel Thistle, semalam.

Ismail berkata,  JDT juga akan membariskan kesebelasan  terbaik  menentang kelab dari Myanmar itu walaupun  terdapat  beberapa pemain tidak dapat diturunkan disebabkan belum cergas sepenuhnya termasuk  berdepan pergantungan.-Sinar Harian
loading...