Rabu, 24 Mei 2017

Doktor Wanita Sanggup Berhenti Beri Pertolongan Kepada Mat Rempit Yang Terlibat kemalangan.

Menjadi seorang doktor memerlukan banyak pengorbanan dan menjadi seorang doktor ini bukanlah senang kerana perlu mengendalikan pelbagai ragam pesakit yang kadang-kalanya memerlukan kesabaran yang tinggi.

Tugas seorang doktor itu amat berat dan menyelamat nyawa orang awam itu harus dilakukan sebaik mungkin dan sedaya mampu tidak kira walau di mana sahaja serta tidak mengira waktu.

Itulah yang telah dilakukan oleh seorang doktor wanita yang sanggup memberhentikan keretanya untuk memberi bantuan kecemasan kepada penunggang motosikal yang tersadai di tepi jalan akibat kemalangan.

Selain dipuji atas keprihatinannya, doktor berkenaan, yang dilihat muda dan cantik turut mendapat perhatian netizen kerana beliau yang berbangsa Cina telah tampil membantu pemuda Melayu.

Kisah doktor wanita ini mula menjadi tular apabila rakan mangsa, Muhammad Aizuddin yang berada di tempat kejadian memuat naik posting penghargaan untuk doktor berkenaan pada Selasa.

“‘Respect’ kat amoi ini. Walaupun dia tahu kami mat rempit, dia berhenti tolong sebab dia doktor. Aku suruh dia gerak dia cakap ‘tak apa, saya tunggu ambulans sampai’.

“Kau carilah dia bila kau dah sihat. Dialah yang suruh aku beli air gula, dialah yang siram luka kau. ‘Gentle’ gua respect,” tulisnya di Facebook, lapor mStar.

Walaupun doktor tersebut ‘dihujani’ pujian kerana menunaikan tanggungjawabnya tanpa mengira bangsa dan agama, berlainan pula dengan Muhammad Aizuddin yang dikecam sebahagian netizen.

Mereka mendakwa posting tersebut berbaur perkauman dan beliau turut dituduh sebagai seorang mat rempit yang sengaja memuat naik posting yang sanggup memburukkan bangsa sendiri semata-mata mahu menjadikan posting itu tular.

Dikecam sedemikian, Muhammad Aizuddin pun tampil membuat posting balas.

“Kepada akak-akak dan abang-abang yang cakap saya main isu perkauman itu, first of all saya memang mat rempit, kedua saya tak main isu perkauman pun. Saya cuma nak selidik jika doktor Melayu apa respon,” tulisnya.

Beliau turut meminta maaf jika postingnya itu membuatkan ada pihak yang tersalah tafsir atau terasa hati.

Apa yang pasti, tindakan profesional doktor wanita itu yang tidak memilih-memilih dalam menghulurkan bantuan wajar dicontohi semua rakyat Malaysia.
loading...