Jumaat, 12 Mei 2017

Dua Sahabat Ke Tali Gantung

Dua sahabat dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 2.93 kilogram tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu terhadap V.Nadarajan, seorang kontraktor dan R.Viknewaran, seorang pekerja kilang selepas mendapati pembelaan mereka gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pendakwaan.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 30 tahun dilihat hanya bersahaja ketika hukuman mati itu dibacakan terhadap mereka secara lisan pada kira-kira pukul 10 pagi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mengedar dadah tersebut kira-kira pukul 7.20 petang, 14 Januari 2014 di kawasan letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Lintang, Sungai Siput.

Pertuduhan terhadap mereka berdua dibuat mengikut seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama .

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Mohd. Azrul Faidz manakala Nadarajan diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan Vikneswaran diwakili P. Ravi.
loading...