Sabtu, 6 Mei 2017

Empat Lelaki Yang Ditahan Pagi Tadi, Telah Dibebaskan

Johor Bahru: Polis membebaskan empat lelaki yang ditahan pagi ini selepas berpuas hati dengan keterangan diberikan berhubung pergaduhan di sebuah Surau Austin Perdana, Taman Austin Perdana ketika solat Jumaat, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, keempat-empat suspek berusia 21 hingga 55 tahun dibebaskan dengan jaminan polis selepas semua keterangan diambil selama kira-kira tiga jam.

"Abaikan apa yang ditulis di media sosial, polis sudah menjalankan siasatan dan kes itu dalam keadaan terkawal.

"Kami sudah berjumpa kedua-dua pihak termasuk mangsa dan pengurusan masjid dan melakukan siasatan dari pelbagai sudut.

"Saya beri amaran, polis memantau apa saja laporan di media sosial dan jika ada yang boleh menyebabkan keadaan panas, kami akan mengambil tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) atau mengikut akta hasutan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Sukan dan Pasaria Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Berikutan itu, Wan Ahmad Najmuddin mengingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi.

Sebelum ini polis mengesahkan emmpat lelaki berusia 21, 36, 45 dan 55 ditahan di depan surau berkenaan kira-kira jam 1 pagi ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.-Harian Metro
loading...