Isnin, 1 Mei 2017

Empat Pasangan Dicekup Pada Malam Hari Pekerja

Seramai lapan individu termasuk dua warga Indonesia ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi membanteras maksiat yang diadakan sempena cuti Hari Pekerja di kawasan Tampoi di Johor Bahru.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata empat pasangan itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkhalwat di tiga buah hotel murah yang diserbu di Taman Tampoi Utama dan Taman Tampoi Indah bermula 12 tengah malam hingga 2 pagi ini.

Kesemua mereka ditahan berusia antara 23 dan 27 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997 kerana berkhalwat dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, kesemua pasangan tersebut dibawa ke Balai Polis Tampoi untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke pejabat JAINJ untuk proses dokumentasi.

Beliau berkata operasi JAINJ ditumpukan terhadap hotel-hotel murah di sekitar Johor Jaya, Tampoi dan Skudai kerana ia dilihat menjadi 'sarang' kepada pasangan luar nikah untuk melakukan maksiat. -Bernama
loading...