Khamis, 11 Mei 2017

Gadis Ditampar Dan Ditendang Oleh Teman Lelaki

Gambar Hiasan
KUALA TERENGGANU - Seorang gadis ditampar dan ditendang teman lelakinya hanya kerana bertanyakan mengenai mesej yang dihantar wanita tidak dikenali kepada lelaki tersebut, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, mangsa berusia 18 tahun yang tinggal di sebuah flat di bandar raya di sini, datang ke rumah sewa teman lelakinya, 20-an, di Gong Badak, Kuala Nerus, semata-mata hendak bertanya mengenai wanita dan mesej dihantar.

Menurut sumber, setibanya di rumah sewa itu, mangsa terus mengamuk dengan memaksa suspek berterus terang kerana terlalu cemburu selepas terbaca mesej yang dihantar di dalam telefon bimbit teman lelakinya sebelum itu.

“Disebabkan terlalu mendesak, teman lelaki mangsa naik angin sebelum memaki hamunnya dan kemarahannya terus memuncak apabila gadis itu seolah-olah masih tidak berpuas hati serta terus memaksa agar dia berterus terang.

“Suspek yang tidak dapat menahan kesabaran itu terus menampar pipi mangsa beberapa kali dengan kuat selain turut menendang paha sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang mengalami kecederaan sakit-sakit dan calar di bahagian muka, leher dan paha tidak berpuas hati sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.-Sinar Harian
loading...